« Home | Jokes of the day - by zunar the upcoming PM :)) » | Simple but meaningful » | Karpal Singh tawar jadi peguam secara percuma untu... » | Police release photo of SMS woman » | Janji Pak Lah : Islam akan terus dipertahankan ! » | Link that would help » | Kes pembunuhan kejam » | Saddam Hussein Abd al-Majid al-Tikriti Sentenced t... » | Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Ma... » | Satey sedap. »

Sultan Mizan dimasyhurkan Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah hari ini melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
Dengan pengisytiharan itu, Seri Paduka menjadi antara Yang di-Pertuan Agong termuda dalam sejarah negara. Seri Paduka berusia 44 tahun.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah mempunyai empat cahaya mata yang masih kecil iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, 10; Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, 8; Tengku Muhammad Mua’az, 6, dan Tengku Fatimatuz Zahra’, 4.
Turut melafazkan sumpah memegang jawatan ialah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-duanya dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-208 (Khas) di Istana Negara pada 3 November lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Upacara hari ini bermula pada 11.50 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.
Mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balairong Seri dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Pemangku Imam Besar Masjid Negara, Abdul Rahman Yusof dan diikuti dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Engku Ibrahim Engku Ngah menyembah surat sumpah jawatan kepada Sultan Mizan.
Sultan Mizan, selepas melafazkan sumpah jawatan, menandatangani surat sumpah jawatan itu, diikuti dengan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sebagai saksi.
Ini diikuti upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah dengan diikuti Sultan Kelantan dan Sultan Selangor sebagai saksi.
Mesyuarat Majlis Raja-raja itu ditangguhkan dan diikuti dengan istiadat menandatangani surat-surat perisytiharan memegang jawatan yang ikuti dengan persembahan surat-surat itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru dan timbalannya untuk ditandatangani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Mizan telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Upacara penuh istiadat itu yang disiarkan secara langsung oleh RTM diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.
Kesemua sembilan Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta empat Yang Dipertua Negeri hadir pada majlis itu.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.
Selepas selesai upacara, Abdullah mengetuai upacara menghadap.