« Home | Police release photo of SMS woman » | Janji Pak Lah : Islam akan terus dipertahankan ! » | Link that would help » | Kes pembunuhan kejam » | Saddam Hussein Abd al-Majid al-Tikriti Sentenced t... » | Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Ma... » | Satey sedap. » | 'Penangan' Hari Raya 2006 » | Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Maaf Zahir Dan Batin » | Did you know ? »

Karpal Singh tawar jadi peguam secara percuma untuk keluarga Altantuya

Peguam terkenal, Karpal Singh telah menawarkan diri jadi peguam bagi pihak keluarga Altantuya dalam perbicaraan kes pembunuhan kejam model sambilan Mongolia itu secara percuma. Konsul Kehormat Mongolia Di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabsi memberitahu Agendadaily Rabu malam Karpal telah menemui Shaariibuu Setev iaitu bapa mendiang Atantuya tengahari Rabu.
Katanya walaupun Karpal kini berkerusi roda beliau akan tampil bersama dua orang anaknya yang juga peguam untuk membantunya.
“Shaariibuu terima tawaran Karpal itu dan amat berterima kasih kepadanya kerana sanggup menjadi peguam mereka secara percuma,”ujarnya semasa ditemui pada satu majlis di Kuala Lumpur.
Kes penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang menghadapi tuduhan bersubahat dalam kes akan disebut di Mahkamah Tinggi ,Kuala Lumpur Khamis ini.Beliau juga diwakili oleh terkemuka Datuk Shafie Abdullah.
Syed Rahman juga memberitahu seramai 20 orang wartawan dari Mongolia akan datang membuat liputan kes berkenaan.
Katanya beliau telah membantu urusan dengan jabatan kerajaan berkenaan untuk kemudahan mereka membuat liputan kes itu. Kes pembunuhan Altantuya teleh mendapat liputan meluas di Mongolia dan para wartawan berkenaan akan datang dari masa ke semasa bila kes itu dibicarakan.
Bapa Atantuya yang sepatutnya kembali ke Ulan Bator Rabu malam telah menangguhkan penerbangan kerana mahu lihat sendiri wajah Razak Baginda di mahkamah pagi Khamis.
Sewaktu tiba di sini baru-baru ini Shaariibuu telah memohon untuk jumpa Razak tetapi tidak dibenarkan kerana dia ditahan reman dalam lokap. "Beliau sangat teringin untuk menatap wajah Razak,"katanya sambil memberitahu Shaariibuu terus berada dalam kesedihan sepanjang berada di Kuala Lumpur.
Shaariibuu akan berlepas pulang petang Khamis (esok) dengan membawa bersamanya cebisan mayat Altantuya.


Kes Razak Baginda disebut di Mahkamah Tinggi Khamis ini

Kes penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang menghadapi tuduhan bersubahat dalam pembunuhan ngeri model sambilan Mongolia Altantuya Saariibuu akan disebut di Mahkamah Tinggi ,Kuala Lumpur Khamis ini. Seorang jurucakap mahkamah itu berkata kes tersebut akan disebut di hadapan Hakim Datuk Abdul Kadir Musa. Tertuduh dijangka membuat pengakuan pada hari itu. Abdul Razak, 46, dituduh di Mahkamah Majistret di sini semalam kerana bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, dalam pembunuhan Altantuya, 28. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini pada 18 Okt lepas antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kod yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati. Azilah dan Sirul dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman dihadapkan di mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu lepas kerana membunuh Altantuya .


Razak Baginda dituduh bersubahat bunuh Altantuya…berdepan dengan hukuman mati jika bersalah

Tandatanya berhubung dengan kaitan penganalisis politik Abdul Razak Baginda,46 dengan kes pembunuhan kejam model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu,28 terjawab . Tahanan reman keatasnya yang dilanjutkan hari Selasa lalu berakhir hari ini (Khamis) . Dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan wanita itu. Razak yang sebelum ini dilaporkan ada hubungan sulit dengan wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Razak didakwa melakukan kesalahan bersubahat dengan cif inspektor Azilah Hadri, 30, dan korporal Sirul Azhar Umar, 35, antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Okt lepas di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang. Kedua anggota polis itu itu dihadapkan ke Mahkamah majistret Shah Alam Rabu atas tuduhan membunuh wanita itu antara pukul 10 malam 19 Okt hingga 1 pagi 20 Okt tahun ini, di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja,Selangor. Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Majistret Hafizah Abdul Rajak menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes dua anggota polis itu di Mahkamah Tinggi.Tiada pengakuan direkodkan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin dan Noorin Badaruddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Shaun Tan Kee Shaan. Anggota polis wanita,antara tiga yang ditahan reman, tidak didakwa di mahkamah. Dia dibebaskan dengan ikat jamin. Melalui ujian DNA,cebisan mayat yang ditemui di Empangan Tasik Subang, dekat Shah Alam, disahkan Altantuya.
Prosiding melibatkan Abdul Razak hari ini berlangsung kira-kira 15 minit. Dia dibawa masuk ke mahkamah pada 12.40 tengah hari. Abdul Razak, yang berpakaian baju biru muda berseluar warna gelap, mengangguk apabila penterjemah mahkamah bertanya sama ada dia faham mengenai pertuduhan terhadapnya. Dia kelihatan tenang sepanjang prosiding. Majistret Aizatul Akmal Maharani mengeluarkan perintah supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin. Salehuddin memberitahu pemberita kemudian bahawa tarikh sebutan bagi kes itu belum ditetapkan. "Sebaik tarikh ditetapkan, pihak pendakwaan akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan bersama dengan Azilah dan Sirul Azhar," katanya. Peguam Abdul Razak, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, terus meninggalkan mahkamah dan enggan memberi sebarang ulasan. Wartawan tempatan dan asing, yang mendapat tahu Abdul Razak akan didakwa di Kuala Lumpur dan bukannya di Shah Alam hari ini, menunggu di mahkamah sejak 8 pagi tadi. Anggota keluarga Abdul Razak dan pasukan pembelaannya tiba sekitar 11 pagi dan memasuki Mahkamah Majistret 8 apabila diberitahu bahawa dia akan dituduh di hadapan Majistret Syahrin Jeli Bohari. Ketika menunggu prosiding bermula, isteri penganalisis itu, Mazlinda Makhzan, meninggikan suaranya dan menjerit dalam bahasa Inggeris ke arah wartawan dengan berkata suaminya tidak bersalah. "Kenapa kamu semua buat begini terhadapnya...bukan dia yang melakukan pembunuhan," katanya. Wanita itu kemudiannya ditenteramkan oleh peguam dan anggota keluarganya. Bagaimanapun kes berkenaan tidak disebut di mahkamah itu sebaliknya disebut di Mahkamah Majistret 3. Keadaan menjadi kelam kabut sedikit apabila wartawan tidak dibenarkan oleh anggota polis untuk masuk ke ruang awam bagi memberi laluan kepada anggota keluarga dan rakan-rakan Abdul Razak. Pembunuhan Altantuya mendapat liputan meluas termasuk di Mongolia. Menurut laporan, wanita itu datang ke Malaysia pada 6 Okt bersama adik perempuan dan seorang sepupunya untuk mencari seorang lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengannya. Apabila dia tidak dapat dikesan sehingga 19 Okt, adik dan sepupunya itu membuat laporan polis selain mendapat bantuan Kedutaan Mongolia di Bangkok. Duta Mongolia di Bangkok juga ditauliahkan ke Malaysia.