Janji Pak Lah : Islam akan terus dipertahankan !
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan Islam mahupun bukan Islam yang melampaui batas dengan mempersoalkan status agama suci itu.
Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan kesucian Islam dan fungsi Mahkamah Syariah terus terpelihara daripada sebarang cubaan untuk merendah-rendahkannya.
Pada masa yang sama, beliau juga akan memastikan tiada ikhtiar dilakukan oleh manamana pihak untuk merampas Islam bagi menyuburkan sikap kebencian dan tidak toleran.
Abdullah yang melihat sikap konservatif atau radikal berkaitan Islam itu timbul sejak kebelakangan ini ekoran salah penerimaan masyarakat terhadap makna sebenar Islam Hadhari, menjelaskan:
* Islam Hadhari bukanlah cek kosong untuk menghidupkan semula pendekatan konservatif.
* Islam Hadhari bukan juga cek kosong untuk membenarkan cara hidup yang terlalu bebas dan permisif.
Beliau membuat penjelasan itu dalam ucapan dasar Presiden bertajuk Kata Dikota pada Perhimpunan Agung UMNO 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Menarik perhatian perwakilan UMNO terhadap insiden larangan mengucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka, Presiden UMNO itu berkata, salah tafsiran mengenai konsep Islam Hadhari mengancam toleransi unik di kalangan umat Islam di negara ini.
“Budaya yang kita amalkan selama bertahun-tahun kini ditakrifkan sebagai haram, seperti mengucap selamat kepada warga Malaysia yang berlainan agama sempena perayaan mereka.
“Apakah kita sudah sampai ke tahap tidak toleran seperti ini? Rumah terbuka yang dikongsi antara kaum turut dikutuk. Bilakah kita menjadi ultrakonservatif?” soal Abdullah.
Tegas beliau: “Ini bukan Islam Hadhari.”
Menurut Perdana Menteri, Islam Hadhari adalah satu falsafah penting yang harus dijadikan sebagai pendekatan untuk umat Islam mencapai kejayaan.
“Malangnya sesetengah golongan menyalahertikan Islam Hadhari sebagai alasan untuk menjadi lebih konservatif dan lebih radikal,” katanya.
Golongan itu, kata Abdullah, turut melontarkan ancaman palsu untuk mengapi-apikan umat Islam supaya menjadi tidak toleran terhadap orang lain.
“Agenda mereka adalah untuk melihat Malaysia berpecah belah serta gagal sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama. Islam bukan begitu,” katanya.
Abdullah memberikan contoh penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pembaptisan umat Islam secara beramai-ramai, penubuhan Persatuan Kristian Melayu serta dakwaan kononnya beribu-ribu orang Melayu telah murtad tanpa disokong oleh bukti-bukti yang sahih sebagai sebahagian daripada agenda itu.
“Hasutan seperti ini membuat ramai orang Melayu menjadi ghairah.
“Disebabkan kita tidak mempunyai budaya untuk menyelidiki kesahihan khabar seperti itu sebelum mempercayainya, ramai yang berasa marah, malah menjadi militan,” katanya.
Sebaliknya apabila dibuktikan khabar yang tersebar itu tidak benar, beliau berkata, mereka yang mencipta dakwaan dan ancaman palsu ini langsung tidak kelihatan apatah lagi untuk membantu meredakan keadaan.
Abdullah berharap prinsip-prinsip Islam Hadhari yang holistik dapat difahami untuk pembangunan menyeluruh masyarakat Islam.
Katanya, memandangkan Islam adalah cara hidup yang relevan sepanjang masa, agama suci itu tidak harus dipersalahkan jika berlaku anomali atau kejanggalan antara ajaran Islam dengan realiti yang berlaku di kalangan ummah.
Teks penuh ucapan Pak Lah >>> http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_e9fdf705-c0a85062-1eafe130-9c47d3c6
Post a Comment