Wednesday, February 21, 2007

Amillia bayi ajaib sebesar tapak tangan yg beranak di Miami US


Bayi pramatang termuda di dunia yang hidup, Amillia Taylor dibawa pulang ke rumah keluarganya semalam, selepas empat bulan berada di unit jagaan rapi neonatal Hospital Kanak-Kanak Baptist di sini. Menurut jurucakap hospital tersebut, bayi itu dilahirkan ketika usia di kandungan hampir 22 minggu. “Dia sememangnya bayi ajaib kerana sewaktu dilahirkan para doktor tidak optimis dia boleh hidup. “Sukar membayangkan dia boleh bertahan tetapi dia kini seperti bayi normal lain,” kata ibunya, Sonja Taylor.
Menurut Universiti Iowa yang menyimpan rekod bayi-bayi terkecil dunia, setakat ini, tiada bayi yang lahir kurang daripada 23 minggu dilaporkan hidup. “Walaupun dia kini hanya seberat 1.8 kilogram tetapi bagi saya dia kelihatan montel berbanding sewaktu dilahirkan,” kata Taylor.
Ketika dilahirkan pada 24 Oktober lalu melalui pembedahan, Amillia hanya seberat 280 gram dengan tinggi 240 milimeter (mm), lebih panjang sedikit daripada sebatang pen. Dia juga melecet di kepala ketika itu, tetapi cepat sembuh. Amillia bernafas tanpa bantuan ketika dilahirkan dan mencuba beberapa kali untuk menangis. “Ini sememangnya satu keajaiban, syukur kepada tuhan,” kata pakar neonatal di hospital tersebut, Dr. William Smalling.
Menurutnya, mereka tidak mempunyai sebarang panduan sewaktu proses memantau perkembangan Amillia kerana bayi-bayi sepertinya tidak hidup lama sebelum ini.
“Kami tidak tahu apa tekanan darah normal bagi bayi sebesar itu, ia memang sukar,” katanya.
Para doktor berkata, bayi perempuan itu kini sihat dan boleh dipelihara oleh ibu bapanya di rumah. Persatuan Pediatrik Amerika menyatakan bayi yang lahir kurang daripada 23 minggu dan berat kurang daripada 400 gram sukar untuk terus hidup.

Wednesday, February 14, 2007

Karnival Pra-GP Joran 11 Mac

KUALA LUMPUR: Hadiah wang tunai keseluruhan RM36,00 menanti peserta Karnival Pra-GP Joran 2007 yang dijadual berlangsung di Pantai Puteri, Melaka, pada 11 Mac ini. Jumlah hadiah itu meningkat berbanding RM35,000 tahun lalu. Acara dijangka menjadi tumpuan kaki pancing yang berhasrat merebut hadiah wang tunai serta bonus 10 mata percuma kepada semua peserta dan tambahan 5 mata lagi bagi pemenang untuk dikumpulkan dalam siri GP Joran 2007.
Juara pertandingan itu bakal membawa pulang RM12,000 dan hadiah iringan akan menjadi rebutan kaki pancing yang membabitkan peserta dari pelosok tanah air dan negara jiran, Singapura. Pemenang kedua mendapat RM7,000, ketiga (RM5,000), keempat (RM3,000) dan kelima (RM1,000).Hadiah wang tunai turut ditawarkan kepada pemenang ke-6 hingga 10 masing-masing RM500, pemenang ke-11 hingga ke-20 mendapat RM300 manakala pemenang ke-21 hingga ke-30 RM150. Pemenang ke-31 hingga ke-40 akan mendapat RM100.
Tahun lalu, pemenang ke-31 hingga ke-40 hanya menerima RM50. Pertandingan itu mengekalkan format kiraan berdasarkan ikan terberat saja. Yuran pendaftaran RM80 bagi satu joran dan 1,500 peserta awal akan mendapat kemeja-T percuma.Acara bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah bermula jam 2 petang.Karnival Pra-GP Joran 2007 bermula pada 10 Mac (Sabtu) dengan menumpukan kepada pelbagai acara sukan pantai, sukaneka dan jualan promosi oleh penaja.Lubuk di Pantai Puteri terkenal dengan ikan semilang, pari, kerapu, senangin, gelama, ketuka, duri dan bebulus.
Di Melaka, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, ketika ditemui di pejabatnya mengalu-alukan penganjuran karnival memancing di Pantai Puteri sebagai antara acara yang mampu memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2007.“Kerajaan negeri akan membantu apa saja untuk memastikan karnival ini dianjurkan dengan meriah, mampu menarik kunjungan ramai dan membabitkan penyertaan penduduk tempatan untuk berniaga,” katanya.Sehubungan itu, mesyuarat pelaksanaan acara itu peringkat negeri dijadual berlangsung di sini, Isnin ini bagi menyelaraskan semua keperluan dan pelaksanaan.Tinjauan di tapak karnival di Pantai Puteri mendapati, balai utama sudah diubah suai untuk membolehkan persembahan pentas yang lebih selesa. Pelbagai kemudahan asas juga disediakan bagi keperluan pengunjung.Karnival ini dijangka lebih meriah berbanding tahun lalu dengan menampilkan lebih ramai penaja dan aktiviti. Ini termasuk acara kendalian Bahagian Penjenamaan Berita Harian yang turut menjual pelbagai barangan cenderamata.
pHiz30: kali ini aku mesti masuk. 3 Mac ... diulang 3 Mac ini.