« Home | Media Advisory: ILS Proton to Launch MEASAT-3 Payl... » | Sultan Mizan dimasyhurkan Sebagai Yang di-Pertuan ... » | Jokes of the day - by zunar the upcoming PM :)) » | Simple but meaningful » | Karpal Singh tawar jadi peguam secara percuma untu... » | Police release photo of SMS woman » | Janji Pak Lah : Islam akan terus dipertahankan ! » | Link that would help » | Kes pembunuhan kejam » | Saddam Hussein Abd al-Majid al-Tikriti Sentenced t... »

Banjir luar biasa

KUALA LUMPUR: Banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bertambah buruk dengan daerah Segamat hampir lumpuh, manakala 26,704 penduduk di tiga negeri itu dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga malam tadi.


Bencana itu turut menyebabkan sebahagian laluan dua lorong Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari Jasin ke Tangkak terpaksa ditutup selepas air Sungai Kesang dan Tangkak melimpahi tebing sehingga ke paras 0.54 meter.


Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi sektor selatan juga dibatalkan menyebabkan 284 penumpang Kereta api Ekspres Wau dari Tumpat, Kelantan ke Singapura terkandas di Stesen Keretapi Gemas.


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kabinet pada mesyuaratnya semalam mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah anggota dan peralatan termasuk helikopter, bot serta kenderaan berat bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di negeri terbabit.


Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara, juga mengarahkan semua pihak pada peringkat negeri dan daerah menyalurkan segera bantuan makanan dan selimut kepada mangsa di pusat pemindahan.


“Jika peruntukan kewangan tambahan diperlukan, kerajaan setuju menyediakannya untuk memastikan mangsa mendapat bekalan makanan dan selimut,” katanya.Beliau yang akan meninjau keadaan banjir di Johor hari ini, berkata negeri lain akan turut dipantau kerana cuaca sukar diramal.


“Kita menjangka Pantai Timur yang banjir tetapi Johor pula dilanda banjir teruk,” katanya.Banjir di Johor akibat fenomena hujan lebat luar biasa sejak tiga hari lalu, menyebabkan 22,751 penduduk daripada 4,925 keluarga dipindahkan ke 165 pusat pemindahan di semua lapan daerah di negeri ituSegamat paling teruk dengan semua jalan ke daerah berkenaan dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.


Lebih 200,000 penduduk di daerah itu kini terputus bekalan elektrik, telefon dan air bersih.Sesetengah mangsa banjir di Segamat juga dilaporkan masih terperangkap di rumah menunggu bantuan udara kerana hampir keseluruhan bandar berkenaan ditenggelami air selepas Sungai Segamat melepasi paras bahaya 11.34 meter berbanding paras normal 9.14 meter.


Di MELAKA, 3,193 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, termasuk 750 orang di 12 pusat pemindahan di Durian Tunggal, Gadek, Rembia dan Alor Gajah, 809 di 15 pusat pemindahan di Bemban, Sungai Rambai, Asahan, Merlimau, Serkam dan Rim, manakala 440 di Melaka Tengah.


Pengerusi Bilik Gerakan Banjir Alor Gajah, Hasim Ismail, berkata Jambatan Kampung Beringin menghubungkan Parit Melana ke Krubong terpaksa ditutup kerana dikhuatiri roboh.Di SEREMBAN, keadaan banjir di daerah Tampin juga bertambah buruk apabila 760 mangsa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sehingga jam 5 petang semalam.Pengarah Gerakan Banjir Daerah, Superintendan Zull Aznam Haron, berkata beberapa jalan terpaksa ditutup, antaranya Jalan Persekutuan antara Tampin ke Johor Bahru selepas laluan di Felda Sungai Kelamah sepanjang tiga kilometer (km) dinaiki air antara satu hingga dua meter.Laluan lain termasuk Jalan Gemas-Batu Anam, Segamat, Jalan Gemencheh-Batang Melaka dan Jalan Gemas-Kampung Ladang.Beliau berkata, sebahagian pekan Gemas ke Jalan Batu Anam, Segamat serta kawasan perhentian bas Gemas juga dinaiki air antara 1 hingga 1.5 meter.Pengurus Besar Komunikasi Korporat Plus, Khalilah Mohd Talha, ketika dihubungi pula berkata sebahagian lebuh raya dua lorong dari Jasin ke Tangkak ditutup sementara kerana dinaiki air 0.54 meter.Bagaimanapun, katanya, trafik berjalan lancar kerana Plus melakukan kontra aliran trafik bagi laluan dua lorong lebuh raya ke utara. KTMB dalam kenyataannya juga berkata, perkhidmatan antara bandar KTM bagi sektor selatan terjejas dengan lima perkhidmatan dibatalkan semalam, iaitu, Ekspres Rakyat Singapura-Kuala Lumpur, Ekspres Sinaran Pagi Kuala Lumpur-Singapura, Mel Tren No 58 Singapura-Gua Musang, Mel Tren No 61 Gua Musang-Singapura dan Mel Tren No 64 Singapura-Gemas. Perkhidmatan Mel Tren No 57 Gua Musang-Singapura pula berakhir di Gemas.