« Home | Hujan Sepanjang Minggu ini » | Pelbagai Rintangan Menyebabkan Mangsa Nahas Nuri L... » | 6 Krew Nuri Terkorban » | Petunjuk Baru Ditemui - Helikopter Nuri Hilang » | Karnival GP Joran 2007 KUALA TERENGGANU » | CTOS diaibkan » | Helikopter NURI buat hal lagi » | KPN di cas Rasuah ? » | Alhamdullilah saudara baru kita Mohamad Azhar dan ... » | Peniaga Melayu kene tindas di KLCC »

Banjir pun Bermula

Seberang Perai dilanda banjir, 1,500 penduduk pindah
BUTTERWORTH 23 Julai – Kira-kira 1,500 penduduk di sekitar Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Simpang Ampat di negeri ini terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara setelah rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat selama sembilan jam bermula dari pukul 10 malam tadi.
HARUNGI BANJIR... Sarimah Hashim memindahkan sebahagian daripada barangan keperluan ke tempat selamat sementara empat kanak-kanak seronok bermain air selepas beberapa kawasan termasuk di Kampung Permatang Tok Suboh dilanda banjir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam

Mereka yang terlibat ialah penduduk dari Permatang Tok Suboh, Kampung Kepala Gajah, Kuala Tasek, Kampung Manggis dan Kampung Baru di Simpang Ampat dekat sini.
Turut terjejas ialah mangsa banjir dari kawasan Permatang Rawa, Permatang Batu, Kebun Sireh dan Permatang Tinggi di Bukit Mertajam serta Taman Merak, Taman Enggang dan Estet Batu Kawan di Sungai Bakap.

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Jusni Ismail berkata, mangsa-mangsa banjir itu mula dipindahkan sejak malam tadi ke empat buah pusat penempatan sementara ekoran air naik hingga ke paras pinggang di kawasan rumah masing-masing. ‘‘Mereka yang tinggal di kawasan rendah hanya akan dibenarkan pulang ke rumah jika keadaan mengizinkan. Petang ini air kelihatan surut sedikit berbanding semalam tetapi mangsa banjir perlu tunggu hingga keadaan beransur pulih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jusni menjelaskan, sebanyak 580 mangsa banjir daripada 143 keluarga ditempatkan di Sekolah Agama Al-Insaniah di Masjid Simpang Ampat manakala kira-kira 500 mangsa berlindung di Surau Permatang Tok Suboh. ‘‘Sebanyak 187 mangsa banjir dari Ladang Batu Kawan ditempatkan di pusat penempatan dalam ladang itu manakala 70 mangsa dari Kampung Kepala Gajah dipindahkan ke Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut,” katanya.

Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan membuka bilik gerakan banjir dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, JKKK serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
‘‘Jabatan Kebajikan Masyarakat dan UMNO cawangan kawasan berkenaan juga menyediakan makanan, selimut dan keperluan asas kepada mangsa di pusat penempatan banjir,” jelas Jusni.
Beliau memberitahu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak berkuasa sedang mentaksir jumlah kerugian dari segi kemusnahan perabot serta peralatan elektrik.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan petang ini menyatakan hujan lebat berlaku di Pulau Pinang ekoran keadaan atmosfera tidak stabil dan kelompok awan yang berintensiti kuat di Selat Melaka Utara dan Laut China Selatan.

Hujan lebat sejak malam tadi, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran pula, menyebabkan paras air di Sungai Junjung/Jawi yang merentasi kawasan Seberang Perai mencecah 2.71 meter pada pukul 2 petang iaitu melepasi paras berjaga-jaga 2.70 meter. Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Abdul Khader Awang berkata, operasi menyelamat dan perpindahan penduduk di kawasan yang terjejas dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan tumpuan diberikan kepada warga emas, golongan kurang upaya dan kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir.

Operasi menyelamat bermula sejak 12 tengah malam tadi hingga pukul 1 tengah hari dengan disertai 30 anggota bomba, dua jentera dan dua buah bot dari Balai Bomba Nibong Tebal, Bandar Baru Perda dan Sungai Bakap. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah berkata, kira-kira 700 mangsa banjir di Permatang Rawa, Padang Lalang, Permatang Batu dan Kebun Sireh di sini terpaksa berpindah ke rumah saudara-mara ekoran rumah mereka dinaiki air.

‘‘Mereka kini menumpang di rumah saudara-mara sementara menunggu air surut,” katanya.
Beberapa kawasan di Machang Bubok juga dinaiki air setinggi buku lali. Bagaimanapun, tiada mangsa dipindahkan di kawasan itu kerana keadaan di situ masih terkawal.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah petang ini turut melawat mangsa-mangsa banjir di beberapa lokasi termasuk di Kampung Kepala Gajah, Kampung Indera Timbalan dan Tasek Mutiara.